Sunday 4 October 2015

ETNIK SABAH: Perayaan Kaum Penduduk Sabah

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H


Assalamualaikum w.b.t.



Legenda Huminodun Menanda Asal Hari Kaamatan


Antara perayaan kaum sabah yang terutama adalah “Hari Kaamatan”, atau dikenali sebagai, “Tadau Kaamatan” atau hari  yang berasal daripada cerita lagenda yang bermula dengan kisah pada awalnya bumi, alam sekitar dan Kadayan (Manusia) dicipta oleh Kinorohingan ( Tuhan ). Dia mempunyai seorang isteri yang bernama, Suminundu dan juga seorang anak perempuan yang bernama Huminodun..
Lukisan karya "Huminodun"

Huminodun merupakan seorang yang cantik serta mempunyai hati yang amat lembut dan baik sehingga mampu memikat pandangan pertama sesiapa dan amat disukai haiwan sekeliling. 

Walaubagaimanapun, apabila hubungan antara manusia semakin merosot dan berpecahnya perpaduan, kesemuanya disebabkan oleh anak lelaki Kinorohingan dan Siminundu, yang bernama Pompoluan yang ingin menguasai dunia dengan caranya yang tersendiri dengan mengelapkan hati manusia meskipun ayahnya menginginkan keamanan dunia. Kinorohingan telah berturut sebanyak tujuh kali menasihati Pompoluan untuk menguasai dunia dengan mengharapkan keharmonian, tetapi anaknya enggan menerima nasihat ayahnya. 

Dengan itu, Kinorohingan menjatuhkan hukuman untuk membuang Pompoluan daripada syurga dan diturunkan ke dasar laut bumi agar dia mempelajari daripada kesilapannya. Namun demikian, Pompoluan menerimanya sebagai sesuatu peluang untuk membina dunia dia tersendiri tanpa alahan daripada sesiapa pun meskipun ayahnya tersendiri. 

Natijahnya, Kinorohingan berasa marah dan akhirnya memutuskan untuk membuang anaknya ke Neraka tanpa peluang untuk kembali lagi.

Sejurus itu, demi memberi kesedaran kepada manusia yang telah jatuh, Kinorohingan memberi balasan mutlak dengan memanggil 7 tulah sehinggalah manusia seksa dan kebuluran. Semenjak itu, Anak perempuannya, Huminodun mengasihani mereka, dengan itu, demi menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Dia meminta agar ayahnya mengorbankan dirinya agar dia menjadi sumber berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambarayon".

Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum itu mengenai asal-usul serta pencipta mereka - Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya - Humindoun untuk menyalamatkan mereka daripada mati kebuluran seperti yang diilustrasikan dalam video di bawah ini..





Namun…

Adakalanya, cerita legenda ini, tidak dinyatakan kewujudan Pompoluan manakala hanya menceritakan Kinorohingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazan Dusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun.




Manakala video di atas ini pula mengisahkan legenda Huminodun dan lahirnya “Hari Kaamatan”, melalui video illustrasi yang diperbuat oleh UiTM SHAH ALAM, FSSR, Graphic Design students, Afiq Yahaya dan kumpulannya. 



TARIAN SABAH

Bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan :-

Tarian Sumazau
"Tarian Sumazau"

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung helang, mengikut alunan rentak yang dimainkan.

Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.

Umpama Sayap Burung Helang

Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "Tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Makanan tradisional turut disediakan sempena hari tersebut.

Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.

Kedua-dua video di bawah ini pula memaparkan pelbagai jenis Tarian Sumazau dari kaum Kadazan yang berlainan :-




FESTIVAL TARI MALAYSIA 2008 :MONGIGOL SUMAYAU (LOTUD TUARAN)



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

No comments:

Post a Comment