Thursday 12 November 2015

Siapa Kita, MALAYSIA?

12 NOVEMBER 2015 / 30 MUHARRAM 1437H

Assalamulaikum w.b.t.

Sudah sekian harinya juga admin tinggalkan ruangan ini dengan cerita terbaru. Suka admin kongsikan cerita dan ilmu baru untuk pembaca semua. Baru-baru ini, ustazah telah menceritakan kepada kami semua tentang zaman sebelum penjajahan, zaman penjajahan dan juga zaman selepas mendapat kemerdekaan. Betapa admin semua rasa bersyukur dan terharu dengan pengorbanan orang dahulu yang bermati-matian melawan bangsa penjajah demi mendapatkan kemerdekaan dan keselesaan di tanah air kita sendiri.

Tidak salah kiranya kita mengambil masa sedikit untuk renungkan betapa banyaknya pengorbanan datuk nenek kita dahulu sehinggalah kita mendapat merasa keselesaan pada hari ni. Bermula kita bangun tidur di waktu pagi sehingga kita tidur di malam hari, kita begitu bebas melakukan apa sahaja yang kita mahu. Berbanding di zamanpenjajahan, ada sahaja peraturan mereka yang perlu dipatuhi.

Segala inovasi di negara luar dapat juga kita di Malaysia merasainya. Malah, kita juga mempunyai daya cipta dan inovasi tersendiri yang boleh kita banggakan di mata dunia. Ini membuktikan kita tidak ketinggalan mengikuti arus pemodenan walaupun kita pernah dijajah selama 446 tahun lamanya! Lihat sahaja pembangunan di negara kita seperti KLCC, Menara Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan banyak lagi kemudahan yang telah dimajukan.

Namun, atas semua yang terjadi hari ini haruslah ada permulaannya. Peristiwa Malayan Union di tahun 1946-1948 telah berjaya menyatukan Melayu untuk memboikot British yang telah memaksa Raja-Raja Melayu menandatangani perjanjian yang hanya menguntungkan mereka. Raja –Raja Melayu diugut untuk setuju atau dituduh berkerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Semasa British mahu mengisytiharkan Malayan Union, mereka sedar bahawa mereka telah kalah dengan tentangan hebat orang Melayu pada ketika itu. Ini kerana antara isi di dalam peristiwa Malayan Union adalah kerakyatan Jus Soli dan banyak lagi unsur yang memudaratkan orang Melayu. Akhirnya, British mengambil keputusan untuk membatalkan Malayan Union dan menggantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Dalam usaha bekas pemimpin kita menjejaki kemerdekaan, mereka sedar bahawa perlunya orang Melayu menerima kewujudan bangsa India dan Cina dalam tanah air kita. Perpaduan ketiga-tiga kaum utama ini akhirnya membentuk parti politik yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan pada tahun 1957.

Namun, pada hari ini kita seakan-akan tidak mengkaji sejarah. Ada sahaja isu salah faham melibatkan kaum Melayu, India dan Cina. Cuba kenangkan orang dahulu yang sanggup bersatu-padu tanpa mengira warna kulit demi anak cucu mereka demi masa hadapan. Kita seakan tidak menghargai segala susah-payah mereka bila kita mempersoalkan kewujudan dan permasalahan yang berlaku pada hari ini.

Kuncinya ialah kita mestilah hidup bertolak-ansur, hormat-menghormati dan buang segala rasa 'bias' dan dengki dengan kaum lain. Bekas pemimpin kita, Pak Lah juga telah menegur sikap rakyat yang gemar meluah isu perkauman di laman sosial. Ini membuktikan bahawa sikap toleransi kita semakin tipis. Pak Lah juga mengingatkan kita supaya mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei dan jangan sesekali kita sebagai rakyat Malaysia, negara yang telah merdeka ini mengungkitnya. Dan janganlah kita hanya bersatu-padu hanya bila berlaku bencana atau masa hari perayaan sahaja.

Banyak lagi sebenarnya isu perkauman yang boleh dikupas.Tetapi untuk entri kali ini, admin ingin tekankan di sini bahawa kewujudan bangsa lain di Malaysia bukanlahperkara yang sia-sia. Untuk orang melayu, janganlah terlalu merasa gah. Bersainglah secara sihat. Semoga kita sentiasa hidup aman damai dan bebas dari iri hati antara kaum. Untuk orang Cina dan India, sudi-sudikanlah berkongsi ilmu dengan kami agar kita semua dapat berjaya bersama-sama seperti kamu semua. Kepada semua yang sudi membaca, titipkanlah sedikit doa untuk para pemimpin kita agar sentiasa adil, jujur dan amanah dalam mentadbir negara Malaysia.

Sekian sahaja untuk entri kali ini.. Dan di sini admin ingin berkongsi satu lagu yang sangat sentimental bagi admin sambil mengenangkan negara kita sekarang..



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..


Sumber rujukan: www.arkib.gov.my/

No comments:

Post a Comment