Saturday 3 October 2015

Jerebu Semakin Teruk, Sekolah Diarahkan Tutup Isnin Dan Selasa

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Seawal jam 11 pagi tadi, admin mendapat khabar berita bahawa adik perempuan admin yang sedang menjalani kelas tambahan di sekolah pagi ini diarahkan balik lebih awal daripada waktu yang telah ditetapkan akibat daripada maklumat berkenaan dengan IPU di Shah Alam telah meningkat ke bacaan 308 pada jam 9 pagi tadi.. Admin dan keluarga masing-masing menganggarkan sekiranya ada kebarangkalian untuk sekolah dan UiTM tutup keesokan hari akibat dari kadar IPU yang sangat berbahaya itu.. Maklumlah, keluarga admin menetap di Serendah dan adik-adik bersekolah di SMK Serendah, manakala admin pula masih belajar di UiTM Puncak Alam untuk tahun terakhir.. Kebarangkalian itu ada kerana jarak kawasan kami tidaklah begitu jauh, lebih kurang 1 jam perjalanan sahaja..

Admin membuat keputusan untuk meneruskan aktiviti hujung minggu seperti biasa.. Dan semasa admin sedang sibuk menyidai kain di ampaian, admin menerima panggilan telefon daripada kakak admin yang menetap di Kuala Lumpur bersama suami dan anaknya.. Kakak admin memaklumkan bahawa TV3 baharu sahaja memaklumkan penutupan sekolah untuk hari Isnin dan Selasa bagi seluruh negara kecuali Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.. Admin terus 'google' untuk mendapatkan kesahihan berita tersebut.. Dan inilah hasil pencarian admin..




"KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah mengarahkan semua sekolah di seluruh negara kecuali Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah ditutup pada Isnin dan Selasa ini ekoran keadaan jerebu yang semakin merosot.
Penutupan sekolah di beberapa negeri itu dinyatakan oleh Mahdzir melalui laman Facebook dan Twitternya hari ini.
Tambah beliau, selain murid, guru-guru juga tidak perlu hadir ke sekolah.
"Sekolah-sekolah terbabit tidak perlu menggantikan persekolahan mereka akibat penutupan ini. PT3, STAM, SPM dan STPM 2015 akan diteruskan mengikut jadual.
"Calon-calon akan dibantu serta diberi peringatan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib semasa bencana jerebu," katanya.
Situasi jerebu pada pagi Ahad semakin kritikal dengan lima kawasan setakat jam 11 pagi tadi mencatat bacaan IPU yang sangat tidak sihat.
Pencerapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tengah hari Ahad mendapati Shah Alam, Selangor merekodkan bacaan tertinggi dengan ipu 308, iaitu bacaan IPU berbahaya.
Sebelum ini, Mahdzir berkata, sekolah akan ditutup apabila IPU mencecah 200.
Kementerian Pendidikan dalam pada itu juga tidak bercadang menurunkannya kepada tahap IPU 150 sebagaimana diminta oleh beberapa pihak termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).
Menurut Mahdzir, penetapan tahap IPU pada 200 sebelum sekolah-sekolah ditutup itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh jabatan kesihatan serta JAS.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 ditarifkan baik, 51 hingga 100, sederhana, 101 hingga 200, tidak sihat, 201 hingga 300, sangat tidak sihat dan 300 ke atas ditarifkan sebagai berbahaya.

Bacaan terbaharu IPU boleh didapati di laman web apims.doe.gov.my."

Kenyataan Media KPM

Buat masa ini, admin masih menunggu berita daripada pihak UiTM berkenaan dengan kuliah pada hari esok.. Jika esok kuliah ditangguhkan, tidak berjumpa lagilah kami semua dengan SaZah.. Apa-apa pun, admin dan rakan-rakan 'Cintailah Rasulullah' mendoakan yang terbaik untuk semua..

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

No comments:

Post a Comment