Sunday 4 October 2015

ETNIK SABAH: Perayaan Kaum Penduduk Sabah

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H


Assalamualaikum w.b.t.



Legenda Huminodun Menanda Asal Hari Kaamatan


Antara perayaan kaum sabah yang terutama adalah “Hari Kaamatan”, atau dikenali sebagai, “Tadau Kaamatan” atau hari  yang berasal daripada cerita lagenda yang bermula dengan kisah pada awalnya bumi, alam sekitar dan Kadayan (Manusia) dicipta oleh Kinorohingan ( Tuhan ). Dia mempunyai seorang isteri yang bernama, Suminundu dan juga seorang anak perempuan yang bernama Huminodun..
Lukisan karya "Huminodun"

Huminodun merupakan seorang yang cantik serta mempunyai hati yang amat lembut dan baik sehingga mampu memikat pandangan pertama sesiapa dan amat disukai haiwan sekeliling. 

Walaubagaimanapun, apabila hubungan antara manusia semakin merosot dan berpecahnya perpaduan, kesemuanya disebabkan oleh anak lelaki Kinorohingan dan Siminundu, yang bernama Pompoluan yang ingin menguasai dunia dengan caranya yang tersendiri dengan mengelapkan hati manusia meskipun ayahnya menginginkan keamanan dunia. Kinorohingan telah berturut sebanyak tujuh kali menasihati Pompoluan untuk menguasai dunia dengan mengharapkan keharmonian, tetapi anaknya enggan menerima nasihat ayahnya. 

Dengan itu, Kinorohingan menjatuhkan hukuman untuk membuang Pompoluan daripada syurga dan diturunkan ke dasar laut bumi agar dia mempelajari daripada kesilapannya. Namun demikian, Pompoluan menerimanya sebagai sesuatu peluang untuk membina dunia dia tersendiri tanpa alahan daripada sesiapa pun meskipun ayahnya tersendiri. 

Natijahnya, Kinorohingan berasa marah dan akhirnya memutuskan untuk membuang anaknya ke Neraka tanpa peluang untuk kembali lagi.

Sejurus itu, demi memberi kesedaran kepada manusia yang telah jatuh, Kinorohingan memberi balasan mutlak dengan memanggil 7 tulah sehinggalah manusia seksa dan kebuluran. Semenjak itu, Anak perempuannya, Huminodun mengasihani mereka, dengan itu, demi menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Dia meminta agar ayahnya mengorbankan dirinya agar dia menjadi sumber berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambarayon".

Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum itu mengenai asal-usul serta pencipta mereka - Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya - Humindoun untuk menyalamatkan mereka daripada mati kebuluran seperti yang diilustrasikan dalam video di bawah ini..





Namun…

Adakalanya, cerita legenda ini, tidak dinyatakan kewujudan Pompoluan manakala hanya menceritakan Kinorohingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazan Dusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun.




Manakala video di atas ini pula mengisahkan legenda Huminodun dan lahirnya “Hari Kaamatan”, melalui video illustrasi yang diperbuat oleh UiTM SHAH ALAM, FSSR, Graphic Design students, Afiq Yahaya dan kumpulannya. 



TARIAN SABAH

Bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan :-

Tarian Sumazau
"Tarian Sumazau"

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung helang, mengikut alunan rentak yang dimainkan.

Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.

Umpama Sayap Burung Helang

Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "Tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Makanan tradisional turut disediakan sempena hari tersebut.

Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.

Kedua-dua video di bawah ini pula memaparkan pelbagai jenis Tarian Sumazau dari kaum Kadazan yang berlainan :-




FESTIVAL TARI MALAYSIA 2008 :MONGIGOL SUMAYAU (LOTUD TUARAN)



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

Malaysia vs "Racism"

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Setelah lama admin tidak log in ke akaun Facebook disebabkan oleh kesibukan yang perlu diutamakan, petang semalam admin akhirnya log in ke akaun. Ketika leka scroll timeline di Facebook, admin tertarik membaca beberapa post oleh rakan-rakan di Facebook admin. Post-post tersebut berbaurkan unsur-unsur ketidakpuasan hati, tuduhan melulu, perasaan marah, pertikaian, cacian, dan ada jugak berunsur merendahkan martabat bangsa dan agama lain.

Seperti mana yang kita semua tahu, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa, etnik dan agama. Ini merupakan suatu keistimewaan negara Malaysia kerena pelbagaian bangsa, etnik dan agama ini mampu untuk tinggal bersama-sama di dalam satu negara dalam keadaan harmoni, aman dan damai.

Namun kini, makin ramai yang menyuarakan pandangan mereka yang menampakkan kewujudan sifat perkauman dimana ianya mampu mencetuskan pergaduhan. Seperti entri admin sebelum ini, mengenai peristiwa 13 Mei 1969. Apabila admin baca post-post di timeline akaun facebook admin, admin agak terkilan dengan isi kandungan post tersebut. Untuk mewujudkan sebuah negara yang harmoni, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Khasnya kepada umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain, ini adalah ajaran Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108:

“Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Amat jelas Islam menolak prinsip yang tidak toleransi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama serta etnik. Oleh yang demikian Allah SWT juga mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan agar keharmonian wujud dalam kalangan umat manusia. Ayat berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam.

Kepelbagaian masyarakat yang berupa perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan oleh penciptanya, seperti yang difirmankan Allah swt dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi :

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak dikhususkan kepada “wahai oran mukmin ataupun wahai orang yang beriman”, ianya cukup berbentuk umum iaitu umat manusia.

Tidak ada seruan agar sesama umat manusia bermusuhan sebaliknya perhatikan dalam ayat yang sama terkandung, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu”.

Ini adalah satu perintah dari sang pencipta supaya umat manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Bukan di kalangan umat Islam tetapi di kalangan umat manusia, orang yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa kepadaNya. Oleh itu, admin dengan rendah diri ingin mengajak rakan admin untuk beraman secara halus. Dengan mengunakan aplikasi di telefon bimbit admin iaitu whatsapp, admin pun bertanya secara privasi kepada rakan admin tersebut mengenai post-post nya di Facebook itu.

Seperti yang admin jangkakan, rakan admin membalas pertanyaan admin mengenai post tersebut dengan sindiran. Namun admin bersahaja membalas dengan nada gurauan mengatakan bahawa post beliau di Facebbok mempunyai unsur perkauman. Beliau membalas whatsapp admin dengan sindiran semula dengan mengatakan bahawa semua rakyat Malaysia sememangnya ada sebuah sifat perkauman didalam diri mereka. Admin sama sekali tidak setuju dan cuba membuktikan kepada beliau bahawa ianya salah.

Lalu admin dengan lagak seperti keypad warrior terus menekan laju di papan keyboard lappy admin untuk mencari nilai satu Malaysia diantara rakyat Malaysia. Sangat mengkagumkan admin telah menjumpai beberapa buah video di aplikasi perkongsian video di YouTube yang menyentuh perasaan hati kecil admin. Bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan video pertemuan admin. Berikut adalah video yang admin maksudkan, dan admin galakkan pembaca semua untuk menonton dan mengambil ikhtibar  daripada video tersebut..




Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..



Sumber rujukan:
Ming Abdullah. (2015, February 9). Islam dan Keharmonian Dalam Masyarakat Berbilang Agama. Retrieved October 4, 2015, from Projek Dialog: http://www.projekdialog.com/featured/islam-dan-keharmonian-dalam-masyarakat-yang-berbilang-agama/



ETNIK SABAH: Kepelbagaian Pakaian Tradisi Masyarakat Di Sabah

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Untuk pengetahuan umum, kumpulan kami diberi tugas oleh SaZah untuk mencari maklumat tentang 'Etnik Sabah'. Terdapat banyak perkara-perkara menarik yang kumpulan kami telah perolehi berkenaan etnik tersebut.. Oleh itu, untuk kali ini admin ingin berkongsi dengan anda semua tentang kepelbagaian pakaian tradisi masyarakat di Sabah yang pasti menarik minat anda..

Kanak-kanak daripada pelbagai Kaum di Sabah
Seperti yang dinyatakan dalam entri admin sebelum ini, penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum. Antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain. Perbezaan antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, agama, adat istiadat, corak dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

Penggunaan pakaian-pakaian tradisional tersebut boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Pada zaman dahulu, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa uparaca-upacara ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan oleh pengantin lelaki dan perempuan (kadangkala juga oleh pengapit pengantin) serta untuk acara-acara kebudayaan.


Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada setengah-tengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi di waktu itu.

Antara berikutnya adalah antara pakaian istiadat etnik kaum Kadazan, Rungus, Murut, Bajau, Penanmpang dan Kadazan Papar :-


Pakaian Etnik Kadazan
Pakaian istiadat masyarakat Kadazan dari Penampang. Lelakinya memakai baju gaung, seluar souva, bengkung toogot dan pakain kepala yang disebut siga. Wanita memakai baju pendek sinuangga, kain labuh tapi dan selendang batik dilengkapi tali pinggang himpogot.



Pakaian Suku Kaum Rungus
Pakaian istiadat suku kaum Rungus. Pakaian lelaki terdiri dari baju badu, seluar soval, bengkung hokos dan pakaian kepala sigal dari kain pis. Wanita memakai baju sempit banat dan kain paras lulut tapi serta hiasan kepala disebut sisingal dan rampai. Perhiasan diri dari jalinan manik-manik berwarna-warni disebut pinakol dan togkol.



Pakaian Suku Kaum Murut
Pakaian Adat suku kaum Murut. Lelaki memakai jaket barbaru dan cawat dari kulit kayu puputul yang dilukis dengan motif dari manik atau warna. Perhiasan kepalanya tupi sinulatan juga dari kulit kayu. Wanita menggayakan pakaian pinongkolo dari kain kapas berhiaskan motif sarat dari manik-manik berwarna-warni. Perhiasan diri juga dari manik seperti rantai rarangkol dan hiasan kepala salupai.


Pakaian Suku Kaum Bajau
Pasangan suku kaum Bajau menggayakan pakaian adat perkahwinan dan kebesaran. Pakaian lelaki dari kain satin berhias renda dan pakaian wanita juga dari satin yang dilengkapi dengan mandapun dan tali pinggang.




Pakaian Suku Kaum Penampang

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.

    


Pakaian Suku Kaum Kadazan Daerah Papar

Baju tradisional suku kaum Kadazan daerah Papar. Baju fabrik baldu hitam berhias renda kuning keemasan. Lelaki memakai pakaian kepala sigal dari kain destar dan wanita memakai siung dari anyaman buluh halus bermotifkan geometrik etnik Sabah. Perhiasan diri gelang tangan dan tali pinggang syiling perak trade dollar.



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..



  

Saturday 3 October 2015

Jerebu Semakin Teruk, Sekolah Diarahkan Tutup Isnin Dan Selasa

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Seawal jam 11 pagi tadi, admin mendapat khabar berita bahawa adik perempuan admin yang sedang menjalani kelas tambahan di sekolah pagi ini diarahkan balik lebih awal daripada waktu yang telah ditetapkan akibat daripada maklumat berkenaan dengan IPU di Shah Alam telah meningkat ke bacaan 308 pada jam 9 pagi tadi.. Admin dan keluarga masing-masing menganggarkan sekiranya ada kebarangkalian untuk sekolah dan UiTM tutup keesokan hari akibat dari kadar IPU yang sangat berbahaya itu.. Maklumlah, keluarga admin menetap di Serendah dan adik-adik bersekolah di SMK Serendah, manakala admin pula masih belajar di UiTM Puncak Alam untuk tahun terakhir.. Kebarangkalian itu ada kerana jarak kawasan kami tidaklah begitu jauh, lebih kurang 1 jam perjalanan sahaja..

Admin membuat keputusan untuk meneruskan aktiviti hujung minggu seperti biasa.. Dan semasa admin sedang sibuk menyidai kain di ampaian, admin menerima panggilan telefon daripada kakak admin yang menetap di Kuala Lumpur bersama suami dan anaknya.. Kakak admin memaklumkan bahawa TV3 baharu sahaja memaklumkan penutupan sekolah untuk hari Isnin dan Selasa bagi seluruh negara kecuali Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.. Admin terus 'google' untuk mendapatkan kesahihan berita tersebut.. Dan inilah hasil pencarian admin..




"KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah mengarahkan semua sekolah di seluruh negara kecuali Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah ditutup pada Isnin dan Selasa ini ekoran keadaan jerebu yang semakin merosot.
Penutupan sekolah di beberapa negeri itu dinyatakan oleh Mahdzir melalui laman Facebook dan Twitternya hari ini.
Tambah beliau, selain murid, guru-guru juga tidak perlu hadir ke sekolah.
"Sekolah-sekolah terbabit tidak perlu menggantikan persekolahan mereka akibat penutupan ini. PT3, STAM, SPM dan STPM 2015 akan diteruskan mengikut jadual.
"Calon-calon akan dibantu serta diberi peringatan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib semasa bencana jerebu," katanya.
Situasi jerebu pada pagi Ahad semakin kritikal dengan lima kawasan setakat jam 11 pagi tadi mencatat bacaan IPU yang sangat tidak sihat.
Pencerapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tengah hari Ahad mendapati Shah Alam, Selangor merekodkan bacaan tertinggi dengan ipu 308, iaitu bacaan IPU berbahaya.
Sebelum ini, Mahdzir berkata, sekolah akan ditutup apabila IPU mencecah 200.
Kementerian Pendidikan dalam pada itu juga tidak bercadang menurunkannya kepada tahap IPU 150 sebagaimana diminta oleh beberapa pihak termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).
Menurut Mahdzir, penetapan tahap IPU pada 200 sebelum sekolah-sekolah ditutup itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh jabatan kesihatan serta JAS.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 ditarifkan baik, 51 hingga 100, sederhana, 101 hingga 200, tidak sihat, 201 hingga 300, sangat tidak sihat dan 300 ke atas ditarifkan sebagai berbahaya.

Bacaan terbaharu IPU boleh didapati di laman web apims.doe.gov.my."

Kenyataan Media KPM

Buat masa ini, admin masih menunggu berita daripada pihak UiTM berkenaan dengan kuliah pada hari esok.. Jika esok kuliah ditangguhkan, tidak berjumpa lagilah kami semua dengan SaZah.. Apa-apa pun, admin dan rakan-rakan 'Cintailah Rasulullah' mendoakan yang terbaik untuk semua..

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

Peristiwa 13 Mei 1969 Tidak Pernah Dilupakan

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

13 Mei 1969
Assalamualaikum w.b.t.

Entri kali ini admin akan membincangkan tentang topik yang sedang hangat di negara kita.. Umum mengetahui Malaysia mempunyai pelbagai kaum terdiri dari 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.. Selama 51 tahun kemerdekaan, kita mengecapi kemesraan dan kebahagiaan hidup berintegrasi kaum.. Namun, dalam kita berusaha mengekalkan keamanan itu, ada sahaja anasir yang saja menimbulkan perbalahan..

Antara peristiwa bersejarah yang patut diambil iktibar ialah peristiwa 13 Mei.. Kepada yang tertanya, Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia.. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia..

Kronologi Peristiwa 13 Mei 1969

Walaupun admin sendiri belum dilahirkan pada tahun itu, tetapi boleh dibayangkan betapa huru haranya keadaan bila manusia sanggup mencederakan satu sama lain sehingga berbunuhan.. Maka dengan itu, sebagai generasi baru kita hendaklah berfikiran waras dan ke hadapan seiring dengan wawasan 2020 yang bakal kita hadapi 5 tahun lagi..

Tidakkah kasihan melihat bangsa kita yang bersikap tidak profesional dan rasis dengan kaum lain walaupun hidup berjiran? Apakah kesannya kepada diri kita, anak kita, keluarga dan rakan kita jika kita terus mengamalkan sikap anti perpaduan? Sama-sama kita renungkan dan ambil ikhtibar daripada apa yang berlaku..

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

ETNIK SABAH: Pengenalan Etnik Sabah

03 OKTOBER 2015 / 19 ZULHIJJAH 1436H 

Assalamualaikum w.b.t.

Sebagai pengenalan kepada salah satu kerja khusus kami, hari ini admin ingin berkongsi kepada tentang negeri Sabah yang mempunyai keunikan nya tersendiri.


Peta Negeri Sabah

Sabah yang juga dikenali sebagai negeri 'Di Bawah Bayu' terletak berhampiran dengan Wilayah Persekutuan Labuan, yang mana ianya terdiri daripada beberapa kaum dan kebudayaan masing-masing.

Kaum yang mempunyai majoriti yang paling tinggi di Sabah adalah kaum bernama “Kadazan dan Dusun”. Kedua-dua kaum ini telah merangkumi anggaran 30% daripada jumlah penuh penduduk-penduduk di Sabah. Penduduk Kadazan Dusun menggunakan pelbagai bahasa dan dialek, serta mempunyai pelbagai budaya dan adat resam tradisional mereka tersendiri yang merangkumi 27 kaum di dalamnya. Antara 27 kaum yang terangkum dalam penduduk Kadazandusun adalah Dusun Liwan, Lotud, Rungus, Tambanao, Kimaragang dan sebagainya. Kedua-dua kaum ini digabungkan dengan memiliki persamaan bahasa beserta budaya yang hampir mirip antara satu dengan yang lain.

Kebanyakan kaum Kadazan tinggal di kawasan yang subur untuk penanaman padi seperti Kudat, Kota Belud dan Penampang, manakala kaum Dusun lebih memilih untuk menetap di kawasan pergunungan dan pedalaman Sabah. Sebagai contoh adalah Tuaran, Tambunan dan Ranau. 

Berikutnya adalah senarai penuh Etnik Kaum Asli yang terdapat di Sabah:
  1. Bajau
  2. Kadazan Dusun
  3. Melayu Brunei
  4. Murut
  5. Orang Sungei
  6. Iranun
  7. Bonggi
  8. Kwijau
  9. Paitan
  10. Lun Bawang
  11. Lundayeh
  12. Kedayan
  13. Suduk
  14. Iban (Iban Merotai)
  15. Binadan
  16. Bisaya
  17. Kokos
  18. Rumanau
  19. Lotud
  20. Minokok
  21. Tidung
  22. Rungus
  23. Kagayan
  24. Tatana
  25. Tagaas
  26. Ubian
  27. Kimaragang
  28. Bajan Laut
  29. Ida'an
  30. Inokang

Kesemua 30 kumpulan kaum di atas berkomunikasi menggunakan 30 bahasa yang tidak kurang dari 90 dialek unik. Selain daripada dialek yang unik dalam berkomunikasi, setiap satu kaum yang dinyatakan di atas juga mempunyai ciri-ciri mereka yang tersendiri dan menjadikan mereka berbeza antara satu dengan yang lain. Tambahan lagi, kesemua kaum ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dari segi budaya, keagamaan, kebudayaan, adat resam, pakaian, perayaan dan peralatan, dan ia turut dipraktikan oleh generasi secara turun-temurun.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.. In shaa Allah..

Sekian, wassalam..

Friday 2 October 2015

Menziarahi Asyfa Nur Arian, Ahli "Cintailah Rasulullah'

02 OKTOBER 2015 / 18 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana hari ini beberapa orang ahli 'Cintailah Rasulullah' iaitu Ainul dan Dalila, dan sahabat kami, Natasha, diberi kesihatan tubuh badan, kesempatan dan kelapangan masa untuk menziarahi salah seorang ahli "Cintailah Rasulullah', Asyfa, di rumah beliau, di UiTM Shah Alam.. Beliau baharu sahaja selesai melakukan pembedahan 'tonsil' beberapa hari yang lalu dan telah diberikan cuti hampir 3 minggu oleh doktor seawal semester ini bermula..





Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya melupakan tanggungjawab kita untuk menziarahi saudara kita yang sakit kerana ianya adalah sunat dan amat digalakkan oleh Islam.. Malahan, perbuatan ini juga akan dapat mengeratkan lagi ukhwah dan hubungan silaturrahim sesama Islam.. Dan amalan ziarah sesama Islam ini juga dituntut untuk dilakukan pada bila-bila masa, bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. 

Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah S.A.W. dalam hadis-hadis di bawah ini:


Abu Hurairah r.a. meriwayatkan:

“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.”
[HR Bukhari & Muslim]


Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”.
[HR Muslim]


Daripada Ali r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa".
[HR At-Tirmizi: Hasan]


Adab ziarah sangat dituntut dalam Islam.. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua dan diri kami sendiri..

Sekian, wassalam..


**Sila layari laman http://www.abuanasmadani.com/ziarah-orang-sakit-tuntutan-adab/ ini untuk perkongsian ilmu lain yang lebih menarik dan bermanfaat sebagai bekalan di dunia.. In Shaa Allah..

Jadual Tugasan Khusus Ahli 'Cintailah Rasulullah'

02 OKTOBER 2015 / 18 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana admin diberikan kekuatan dan kelapangan masa untuk menyiapkan jadual tugasan khusus ahli 'Cintailah Rasulullah' untuk dipaparkan di dalam blog ini..

Tadaaaaaaaa........


JADUAL TUGASAN KHUSUS AHLI 'CINTAILAH RASULULLAH'




Untuk pengetahuan SaZah dan pembaca yang dikasihi, jadual tugasan khusus ini bermaksud nama yang dinyatakan merupakan KETUA bagi tugasan tersebut.. Sekiranya ada ahli yang menghadapi kesukaran dalam melaksanakan tugasan mereka, ahli-ahli yang lain digalakkan memberi kerjasama dan membantu ahli tersebut dengan sebaik mungkin bagi menyempurnakan tugasan tersebut.. Bak kata pepatah, "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".. Admin berharap dengan izin Allah, segala tugasan yang diberikan oleh Sazah akan dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua ahli "Cintailah Rasulullah'..

Segala yang baik itu datang daripada Allah (yang kekal wujud), manakala segala yang buruk itu datang daripada diri kami sendiri (wujud yang sementara)..

Sekian, wassalam..

Minggu Ke-4: Jerebu Teruk, UiTM Tangguh Jadual Kuliah di Selangor

28 SEPTEMBER 2015 / 14 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, hari ini Allah berikan kekuatan dan kesempatan untuk admin mengemaskini blog ini untuk tatapan semua.. Dukacita dimaklumkan, kuliah kursus CTU555 terpaksa ditangguhkan akibat daripada jerebu yang teruk melanda beberapa negeri di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Johor, dan termasuk Selangor.. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor telah melebihi 200, di tahap bahaya.. Maka, kami tidak dapat bertemu dan mempelajari ilmu yang baru daripada SaZah minggu ni..



Walau bagaimanapun, kami tidak mensia-siakan masa lapang yang ada.. Kami telah pun menyiapkan senarai tugasan khusus untuk setiap ahli kumpulan kami bagi memudahkan segala urusan berkaitan kerja khusus untuk CTU55 berjalan lancar atas saranan daripada SaZah.. Terima kasih, SaZah..

Sekian, wassalam..