Sunday, 15 November 2015

ETNIK SABAH: Statistik Keagamaan Negeri Sabah

15 NOVEMBER 2015 / 03 SAFAR 1437H

Assalammualaikum w.b.t

Sabah mempunyai ramai penduduk yang masih memikul agama kepercayaan lain seperti Kristian 26.6%, Buddha 6.1%, Lain-lain 1.6% dan Pagan atau Animisme 0.3%. Manakala jumlah peratus penduduk yang manganut agama Islam adalah 65.4%. Kesemuannya adalah menurut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia pada tahun 2010. (Sila rujuk Gambar 1.0)

Pada tahun 1963 dan sebelumnya, negeri Sabah sememangnya kebanyakannya mempunyai kepercayaan animisme dan roh. Namun, sejak penyatuan pada tahun 1963, Sabah telah mengalami perubahan yang ketara dalam komposisi agama, terutama dalam peratusan penduduknya yang menganut agama Islam. 

Pada awalnya, dengan perayaan dan kepercayaan yang di bawa oleh Hominudun dan Hari Kaamatan serta kepercayaan animisme contohnya kepada roh hutan, batu, rantai tulang, bagu-bagu (rantai siput) yang boleh mengubati orang yang disumpah adalah suatu keturunan tradisi sejak zaman nenek moyang lagi. Kesemua peralatan yang digunakan untuk menyembah roh bagi menguatkan peralatan ubat sumpahan telah diturunkan dalam suatu keluarga secara turun temurun.

Gambar 1.0 : Statistik Agama Negeri Sabah 2010



 Sabah. (n.d.). Retrieved November 8, 2015, from https://ms.wikipedia.org/wiki/Sabah#Agama

ETNIK SABAH: Peralatan Muzik di Sabah

15 NOVEMBER 2015 / 03 SAFAR 1437H

Assalammualaikum w.b.t

Negeri Sabah yang penuh dengan keperbagaian etnik sememangnya juga mempunyai banyak alatan muzik yang tersendiri. Adakalanya peralatann muzik orang etnik sabah juga mempunyai persamaan fungsi dan cara penggunaan dengan peralatan muzik negara lain yang terkenal seperti gitar, viola, violin, gendang, seruling dan sebagainya.

Sompoton



Diperbuat daripada buluh kecil “sumbiling” dan labu air. Ianya digunakan oleh suku Kaum Kadazan dalam persembahan nyanyian dan tarian dan juga digunakan secara persendirian dimasa lapang. Sompoton pada awalnya digunakan untuk majlis keagamaan manakala kini ia digunakan untuk dimainkan pada bila-bila masa.


Gendang/ Totog

Badannya diperbuat daripada nangka atau kayu merbau manakala kulit kambing diregangkan dihujung alat gendang. Asalnya daripada timur tengah negeri Sabah. Gendang juga dikenali sebagai alat membranofon.








  Rebana/ membranofon

Pada waktu tarian dan nyayian, Rebana digunakan sebagai alat muzik pengiring dan merukan sejenis gendang yang mempunyai satu muka sahaja untuk di ketuk dengan tangan. Asalnya daripada daerah Papar, Beaufort dan Sipitang.






 Tongunggak/ Tagunggak
Adalah sejenis alat muzik yang mempunyai 6 (togunggu) hingga 30 (tagunggak) buah yang bergantung bilangannya berdasarkan suku kaum yang menggunakannya. Ia juga merupakan sejenis pengiring gong yang diperbuat oleh bambu. 







Gong

Diperbuat oleh gangsa dan besi yang membuatkannya bernilai harga yang tinggi. Ia berasal dari timur tengah negeri Sabah. Lebih tebal bibirnya serta tombolnya maka lebih mahal dan popular peralatann muzik itu. Gong kebiasannya digunkan untuk mengiringi muzik perayaan dan tarian pada hari kaamatan.







Kulintangan




Kulintangan diperbuat oleh tembaga atupun perunggu. Ianya berasal daripada keluarga gong yang berupa saiz yang kecil. Dalam konteks persembahan ianya diletakkan di atas tali yang diregangkan pada tapak kayu ataupun para dalam satu barisan yang mengandungi lapan biji kesemuanya.


Turali

Diperbuat oleh buluh sumbiling dan merupakan sejenis alat erofon yang mempunyai panjang sebanyak 1 meter hingga 2 meter. Walaubagaimanapaun, Turali dikira unik kerana ia dimainkan dengan hembusan hidung yang mempunyai 4 lubang di batang Turali.







Sundatang/ Gagayan






Merupakan sejenis alat bertali yang menyerupai Erhu, Violin, Viola dan juga Gitar dari segi elemen bentuk persamaan yang ada. Sundatang diperbuat oleh kayu tembailing yang juga dikenali sebagai kayu nangka. Manakala tali diperbuat dari akar polon.



Erofon/ Suling/ Seruling


Suling mempunyai 6 lubang yang dipanggil sebagai “Penampang” manakala Suling yang mempunyai 5 lubang dipanggil “Tambunan”. Alat ini dimainkan menggunakan tiupan mulut yang berbeza dengan Turali yang menggunakan hembusan hidung. Ia juga merupakan alat muzik yang amat terkenal dan digemari oleh etnik Sabah.



Tongkungon

Berasal daripada daerah Tuaran, Penampang dan Tambunan. Merupakan alat yang dimainkan oleh suku kaum dusun. Ia juga diperbuat daripada buluh yang besar dan dari tiub buluh dengan jalur nipis dipotong permukaannya untuk membentuk rentetan, yang boleh ditala dengan serpihan-serpihan kecil kayu / rotan pada akhir setiap tongkungon yang besar.








Bungkau


Alat ini diperbuat daripada kayu polod ataupun sejenis dahan pokok palma. Bungkau merupakan sejenis  erofon. Cara membunyikan alat muzik Bungkau adalah dengan meletakkan pada mulut atau kedua-dua bibir disepit untuk penahan, dan sebelah tangan atau jari membelek-belekkan kayu hujung Bungkau.



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

Thursday, 12 November 2015

Siapa Kita, MALAYSIA?

12 NOVEMBER 2015 / 30 MUHARRAM 1437H

Assalamulaikum w.b.t.

Sudah sekian harinya juga admin tinggalkan ruangan ini dengan cerita terbaru. Suka admin kongsikan cerita dan ilmu baru untuk pembaca semua. Baru-baru ini, ustazah telah menceritakan kepada kami semua tentang zaman sebelum penjajahan, zaman penjajahan dan juga zaman selepas mendapat kemerdekaan. Betapa admin semua rasa bersyukur dan terharu dengan pengorbanan orang dahulu yang bermati-matian melawan bangsa penjajah demi mendapatkan kemerdekaan dan keselesaan di tanah air kita sendiri.

Tidak salah kiranya kita mengambil masa sedikit untuk renungkan betapa banyaknya pengorbanan datuk nenek kita dahulu sehinggalah kita mendapat merasa keselesaan pada hari ni. Bermula kita bangun tidur di waktu pagi sehingga kita tidur di malam hari, kita begitu bebas melakukan apa sahaja yang kita mahu. Berbanding di zamanpenjajahan, ada sahaja peraturan mereka yang perlu dipatuhi.

Segala inovasi di negara luar dapat juga kita di Malaysia merasainya. Malah, kita juga mempunyai daya cipta dan inovasi tersendiri yang boleh kita banggakan di mata dunia. Ini membuktikan kita tidak ketinggalan mengikuti arus pemodenan walaupun kita pernah dijajah selama 446 tahun lamanya! Lihat sahaja pembangunan di negara kita seperti KLCC, Menara Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan banyak lagi kemudahan yang telah dimajukan.

Namun, atas semua yang terjadi hari ini haruslah ada permulaannya. Peristiwa Malayan Union di tahun 1946-1948 telah berjaya menyatukan Melayu untuk memboikot British yang telah memaksa Raja-Raja Melayu menandatangani perjanjian yang hanya menguntungkan mereka. Raja –Raja Melayu diugut untuk setuju atau dituduh berkerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Semasa British mahu mengisytiharkan Malayan Union, mereka sedar bahawa mereka telah kalah dengan tentangan hebat orang Melayu pada ketika itu. Ini kerana antara isi di dalam peristiwa Malayan Union adalah kerakyatan Jus Soli dan banyak lagi unsur yang memudaratkan orang Melayu. Akhirnya, British mengambil keputusan untuk membatalkan Malayan Union dan menggantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Dalam usaha bekas pemimpin kita menjejaki kemerdekaan, mereka sedar bahawa perlunya orang Melayu menerima kewujudan bangsa India dan Cina dalam tanah air kita. Perpaduan ketiga-tiga kaum utama ini akhirnya membentuk parti politik yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan pada tahun 1957.

Namun, pada hari ini kita seakan-akan tidak mengkaji sejarah. Ada sahaja isu salah faham melibatkan kaum Melayu, India dan Cina. Cuba kenangkan orang dahulu yang sanggup bersatu-padu tanpa mengira warna kulit demi anak cucu mereka demi masa hadapan. Kita seakan tidak menghargai segala susah-payah mereka bila kita mempersoalkan kewujudan dan permasalahan yang berlaku pada hari ini.

Kuncinya ialah kita mestilah hidup bertolak-ansur, hormat-menghormati dan buang segala rasa 'bias' dan dengki dengan kaum lain. Bekas pemimpin kita, Pak Lah juga telah menegur sikap rakyat yang gemar meluah isu perkauman di laman sosial. Ini membuktikan bahawa sikap toleransi kita semakin tipis. Pak Lah juga mengingatkan kita supaya mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei dan jangan sesekali kita sebagai rakyat Malaysia, negara yang telah merdeka ini mengungkitnya. Dan janganlah kita hanya bersatu-padu hanya bila berlaku bencana atau masa hari perayaan sahaja.

Banyak lagi sebenarnya isu perkauman yang boleh dikupas.Tetapi untuk entri kali ini, admin ingin tekankan di sini bahawa kewujudan bangsa lain di Malaysia bukanlahperkara yang sia-sia. Untuk orang melayu, janganlah terlalu merasa gah. Bersainglah secara sihat. Semoga kita sentiasa hidup aman damai dan bebas dari iri hati antara kaum. Untuk orang Cina dan India, sudi-sudikanlah berkongsi ilmu dengan kami agar kita semua dapat berjaya bersama-sama seperti kamu semua. Kepada semua yang sudi membaca, titipkanlah sedikit doa untuk para pemimpin kita agar sentiasa adil, jujur dan amanah dalam mentadbir negara Malaysia.

Sekian sahaja untuk entri kali ini.. Dan di sini admin ingin berkongsi satu lagu yang sangat sentimental bagi admin sambil mengenangkan negara kita sekarang..



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..


Sumber rujukan: www.arkib.gov.my/

Sunday, 4 October 2015

ETNIK SABAH: Perayaan Kaum Penduduk Sabah

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H


Assalamualaikum w.b.t.



Legenda Huminodun Menanda Asal Hari Kaamatan


Antara perayaan kaum sabah yang terutama adalah “Hari Kaamatan”, atau dikenali sebagai, “Tadau Kaamatan” atau hari  yang berasal daripada cerita lagenda yang bermula dengan kisah pada awalnya bumi, alam sekitar dan Kadayan (Manusia) dicipta oleh Kinorohingan ( Tuhan ). Dia mempunyai seorang isteri yang bernama, Suminundu dan juga seorang anak perempuan yang bernama Huminodun..
Lukisan karya "Huminodun"

Huminodun merupakan seorang yang cantik serta mempunyai hati yang amat lembut dan baik sehingga mampu memikat pandangan pertama sesiapa dan amat disukai haiwan sekeliling. 

Walaubagaimanapun, apabila hubungan antara manusia semakin merosot dan berpecahnya perpaduan, kesemuanya disebabkan oleh anak lelaki Kinorohingan dan Siminundu, yang bernama Pompoluan yang ingin menguasai dunia dengan caranya yang tersendiri dengan mengelapkan hati manusia meskipun ayahnya menginginkan keamanan dunia. Kinorohingan telah berturut sebanyak tujuh kali menasihati Pompoluan untuk menguasai dunia dengan mengharapkan keharmonian, tetapi anaknya enggan menerima nasihat ayahnya. 

Dengan itu, Kinorohingan menjatuhkan hukuman untuk membuang Pompoluan daripada syurga dan diturunkan ke dasar laut bumi agar dia mempelajari daripada kesilapannya. Namun demikian, Pompoluan menerimanya sebagai sesuatu peluang untuk membina dunia dia tersendiri tanpa alahan daripada sesiapa pun meskipun ayahnya tersendiri. 

Natijahnya, Kinorohingan berasa marah dan akhirnya memutuskan untuk membuang anaknya ke Neraka tanpa peluang untuk kembali lagi.

Sejurus itu, demi memberi kesedaran kepada manusia yang telah jatuh, Kinorohingan memberi balasan mutlak dengan memanggil 7 tulah sehinggalah manusia seksa dan kebuluran. Semenjak itu, Anak perempuannya, Huminodun mengasihani mereka, dengan itu, demi menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Dia meminta agar ayahnya mengorbankan dirinya agar dia menjadi sumber berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambarayon".

Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum itu mengenai asal-usul serta pencipta mereka - Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya - Humindoun untuk menyalamatkan mereka daripada mati kebuluran seperti yang diilustrasikan dalam video di bawah ini..





Namun…

Adakalanya, cerita legenda ini, tidak dinyatakan kewujudan Pompoluan manakala hanya menceritakan Kinorohingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazan Dusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun.




Manakala video di atas ini pula mengisahkan legenda Huminodun dan lahirnya “Hari Kaamatan”, melalui video illustrasi yang diperbuat oleh UiTM SHAH ALAM, FSSR, Graphic Design students, Afiq Yahaya dan kumpulannya. 



TARIAN SABAH

Bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan :-

Tarian Sumazau
"Tarian Sumazau"

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung helang, mengikut alunan rentak yang dimainkan.

Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.

Umpama Sayap Burung Helang

Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "Tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Makanan tradisional turut disediakan sempena hari tersebut.

Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.

Kedua-dua video di bawah ini pula memaparkan pelbagai jenis Tarian Sumazau dari kaum Kadazan yang berlainan :-




FESTIVAL TARI MALAYSIA 2008 :MONGIGOL SUMAYAU (LOTUD TUARAN)



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..

Malaysia vs "Racism"

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Setelah lama admin tidak log in ke akaun Facebook disebabkan oleh kesibukan yang perlu diutamakan, petang semalam admin akhirnya log in ke akaun. Ketika leka scroll timeline di Facebook, admin tertarik membaca beberapa post oleh rakan-rakan di Facebook admin. Post-post tersebut berbaurkan unsur-unsur ketidakpuasan hati, tuduhan melulu, perasaan marah, pertikaian, cacian, dan ada jugak berunsur merendahkan martabat bangsa dan agama lain.

Seperti mana yang kita semua tahu, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa, etnik dan agama. Ini merupakan suatu keistimewaan negara Malaysia kerena pelbagaian bangsa, etnik dan agama ini mampu untuk tinggal bersama-sama di dalam satu negara dalam keadaan harmoni, aman dan damai.

Namun kini, makin ramai yang menyuarakan pandangan mereka yang menampakkan kewujudan sifat perkauman dimana ianya mampu mencetuskan pergaduhan. Seperti entri admin sebelum ini, mengenai peristiwa 13 Mei 1969. Apabila admin baca post-post di timeline akaun facebook admin, admin agak terkilan dengan isi kandungan post tersebut. Untuk mewujudkan sebuah negara yang harmoni, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Khasnya kepada umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain, ini adalah ajaran Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108:

“Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Amat jelas Islam menolak prinsip yang tidak toleransi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama serta etnik. Oleh yang demikian Allah SWT juga mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan agar keharmonian wujud dalam kalangan umat manusia. Ayat berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam.

Kepelbagaian masyarakat yang berupa perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan oleh penciptanya, seperti yang difirmankan Allah swt dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi :

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak dikhususkan kepada “wahai oran mukmin ataupun wahai orang yang beriman”, ianya cukup berbentuk umum iaitu umat manusia.

Tidak ada seruan agar sesama umat manusia bermusuhan sebaliknya perhatikan dalam ayat yang sama terkandung, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu”.

Ini adalah satu perintah dari sang pencipta supaya umat manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Bukan di kalangan umat Islam tetapi di kalangan umat manusia, orang yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa kepadaNya. Oleh itu, admin dengan rendah diri ingin mengajak rakan admin untuk beraman secara halus. Dengan mengunakan aplikasi di telefon bimbit admin iaitu whatsapp, admin pun bertanya secara privasi kepada rakan admin tersebut mengenai post-post nya di Facebook itu.

Seperti yang admin jangkakan, rakan admin membalas pertanyaan admin mengenai post tersebut dengan sindiran. Namun admin bersahaja membalas dengan nada gurauan mengatakan bahawa post beliau di Facebbok mempunyai unsur perkauman. Beliau membalas whatsapp admin dengan sindiran semula dengan mengatakan bahawa semua rakyat Malaysia sememangnya ada sebuah sifat perkauman didalam diri mereka. Admin sama sekali tidak setuju dan cuba membuktikan kepada beliau bahawa ianya salah.

Lalu admin dengan lagak seperti keypad warrior terus menekan laju di papan keyboard lappy admin untuk mencari nilai satu Malaysia diantara rakyat Malaysia. Sangat mengkagumkan admin telah menjumpai beberapa buah video di aplikasi perkongsian video di YouTube yang menyentuh perasaan hati kecil admin. Bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan video pertemuan admin. Berikut adalah video yang admin maksudkan, dan admin galakkan pembaca semua untuk menonton dan mengambil ikhtibar  daripada video tersebut..




Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..



Sumber rujukan:
Ming Abdullah. (2015, February 9). Islam dan Keharmonian Dalam Masyarakat Berbilang Agama. Retrieved October 4, 2015, from Projek Dialog: http://www.projekdialog.com/featured/islam-dan-keharmonian-dalam-masyarakat-yang-berbilang-agama/



ETNIK SABAH: Kepelbagaian Pakaian Tradisi Masyarakat Di Sabah

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Untuk pengetahuan umum, kumpulan kami diberi tugas oleh SaZah untuk mencari maklumat tentang 'Etnik Sabah'. Terdapat banyak perkara-perkara menarik yang kumpulan kami telah perolehi berkenaan etnik tersebut.. Oleh itu, untuk kali ini admin ingin berkongsi dengan anda semua tentang kepelbagaian pakaian tradisi masyarakat di Sabah yang pasti menarik minat anda..

Kanak-kanak daripada pelbagai Kaum di Sabah
Seperti yang dinyatakan dalam entri admin sebelum ini, penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum. Antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain. Perbezaan antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, agama, adat istiadat, corak dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

Penggunaan pakaian-pakaian tradisional tersebut boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Pada zaman dahulu, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa uparaca-upacara ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan oleh pengantin lelaki dan perempuan (kadangkala juga oleh pengapit pengantin) serta untuk acara-acara kebudayaan.


Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada setengah-tengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi di waktu itu.

Antara berikutnya adalah antara pakaian istiadat etnik kaum Kadazan, Rungus, Murut, Bajau, Penanmpang dan Kadazan Papar :-


Pakaian Etnik Kadazan
Pakaian istiadat masyarakat Kadazan dari Penampang. Lelakinya memakai baju gaung, seluar souva, bengkung toogot dan pakain kepala yang disebut siga. Wanita memakai baju pendek sinuangga, kain labuh tapi dan selendang batik dilengkapi tali pinggang himpogot.



Pakaian Suku Kaum Rungus
Pakaian istiadat suku kaum Rungus. Pakaian lelaki terdiri dari baju badu, seluar soval, bengkung hokos dan pakaian kepala sigal dari kain pis. Wanita memakai baju sempit banat dan kain paras lulut tapi serta hiasan kepala disebut sisingal dan rampai. Perhiasan diri dari jalinan manik-manik berwarna-warni disebut pinakol dan togkol.



Pakaian Suku Kaum Murut
Pakaian Adat suku kaum Murut. Lelaki memakai jaket barbaru dan cawat dari kulit kayu puputul yang dilukis dengan motif dari manik atau warna. Perhiasan kepalanya tupi sinulatan juga dari kulit kayu. Wanita menggayakan pakaian pinongkolo dari kain kapas berhiaskan motif sarat dari manik-manik berwarna-warni. Perhiasan diri juga dari manik seperti rantai rarangkol dan hiasan kepala salupai.


Pakaian Suku Kaum Bajau
Pasangan suku kaum Bajau menggayakan pakaian adat perkahwinan dan kebesaran. Pakaian lelaki dari kain satin berhias renda dan pakaian wanita juga dari satin yang dilengkapi dengan mandapun dan tali pinggang.




Pakaian Suku Kaum Penampang

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.

    


Pakaian Suku Kaum Kadazan Daerah Papar

Baju tradisional suku kaum Kadazan daerah Papar. Baju fabrik baldu hitam berhias renda kuning keemasan. Lelaki memakai pakaian kepala sigal dari kain destar dan wanita memakai siung dari anyaman buluh halus bermotifkan geometrik etnik Sabah. Perhiasan diri gelang tangan dan tali pinggang syiling perak trade dollar.



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..



  

Saturday, 3 October 2015

Jerebu Semakin Teruk, Sekolah Diarahkan Tutup Isnin Dan Selasa

04 OKTOBER 2015 / 20 ZULHIJJAH 1436H

Assalamualaikum w.b.t.

Seawal jam 11 pagi tadi, admin mendapat khabar berita bahawa adik perempuan admin yang sedang menjalani kelas tambahan di sekolah pagi ini diarahkan balik lebih awal daripada waktu yang telah ditetapkan akibat daripada maklumat berkenaan dengan IPU di Shah Alam telah meningkat ke bacaan 308 pada jam 9 pagi tadi.. Admin dan keluarga masing-masing menganggarkan sekiranya ada kebarangkalian untuk sekolah dan UiTM tutup keesokan hari akibat dari kadar IPU yang sangat berbahaya itu.. Maklumlah, keluarga admin menetap di Serendah dan adik-adik bersekolah di SMK Serendah, manakala admin pula masih belajar di UiTM Puncak Alam untuk tahun terakhir.. Kebarangkalian itu ada kerana jarak kawasan kami tidaklah begitu jauh, lebih kurang 1 jam perjalanan sahaja..

Admin membuat keputusan untuk meneruskan aktiviti hujung minggu seperti biasa.. Dan semasa admin sedang sibuk menyidai kain di ampaian, admin menerima panggilan telefon daripada kakak admin yang menetap di Kuala Lumpur bersama suami dan anaknya.. Kakak admin memaklumkan bahawa TV3 baharu sahaja memaklumkan penutupan sekolah untuk hari Isnin dan Selasa bagi seluruh negara kecuali Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.. Admin terus 'google' untuk mendapatkan kesahihan berita tersebut.. Dan inilah hasil pencarian admin..




"KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah mengarahkan semua sekolah di seluruh negara kecuali Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah ditutup pada Isnin dan Selasa ini ekoran keadaan jerebu yang semakin merosot.
Penutupan sekolah di beberapa negeri itu dinyatakan oleh Mahdzir melalui laman Facebook dan Twitternya hari ini.
Tambah beliau, selain murid, guru-guru juga tidak perlu hadir ke sekolah.
"Sekolah-sekolah terbabit tidak perlu menggantikan persekolahan mereka akibat penutupan ini. PT3, STAM, SPM dan STPM 2015 akan diteruskan mengikut jadual.
"Calon-calon akan dibantu serta diberi peringatan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib semasa bencana jerebu," katanya.
Situasi jerebu pada pagi Ahad semakin kritikal dengan lima kawasan setakat jam 11 pagi tadi mencatat bacaan IPU yang sangat tidak sihat.
Pencerapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tengah hari Ahad mendapati Shah Alam, Selangor merekodkan bacaan tertinggi dengan ipu 308, iaitu bacaan IPU berbahaya.
Sebelum ini, Mahdzir berkata, sekolah akan ditutup apabila IPU mencecah 200.
Kementerian Pendidikan dalam pada itu juga tidak bercadang menurunkannya kepada tahap IPU 150 sebagaimana diminta oleh beberapa pihak termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).
Menurut Mahdzir, penetapan tahap IPU pada 200 sebelum sekolah-sekolah ditutup itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh jabatan kesihatan serta JAS.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 ditarifkan baik, 51 hingga 100, sederhana, 101 hingga 200, tidak sihat, 201 hingga 300, sangat tidak sihat dan 300 ke atas ditarifkan sebagai berbahaya.

Bacaan terbaharu IPU boleh didapati di laman web apims.doe.gov.my."

Kenyataan Media KPM

Buat masa ini, admin masih menunggu berita daripada pihak UiTM berkenaan dengan kuliah pada hari esok.. Jika esok kuliah ditangguhkan, tidak berjumpa lagilah kami semua dengan SaZah.. Apa-apa pun, admin dan rakan-rakan 'Cintailah Rasulullah' mendoakan yang terbaik untuk semua..

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

Sekian, wassalam..